Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Mei. – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata, dunia hari ini sedang mengalami perubahan yang sangat pantas.
Pada Majlis Penyampaian Sijil bagi Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) Kohort 32, Program Pembangunan Eksekutif Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Kohort 36, dan Program Eksekutif Muda (YEP) Kohort 10 bagi Tahun Kewangan 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Bankuet, JPM, di sini, Yang Berhormat seterusnya menambah, perkembangan teknologi digital, Kecerdasan Buatan (AI), ekonomi berasaskan pengetahuan serta cabaran global yang semakin kompleks menuntut pendekatan pentadbiran yang lebih tangkas dan inovatif.
Oleh itu tegas Yang Berhormat, Perkhidmatan Awam (PA) tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada pendekatan tradisional, dan sebaliknya, kita perlu tangkas dan berani berfikir secara strategik, menggalakkan inovasi dalam organisasi, serta memperbaharui kaedah penyampaian perkhidmatan agar lebih cekap, mudah diakses dan memberi nilai tambah kepada orang ramai.
Kepimpinan tertinggi negara juga menurut Yang Berhormat, sentiasa menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh budaya kerja yang profesional, berintegriti dan berakauntabiliti, di samping memanfaatkan teknologi digital untuk mempercepatkan transformasi pentadbiran kerajaan.
Jelas Yang Berhormat lagi, usaha memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan perlu terus diperkasa supaya urusan orang ramai menjadi lebih cepat, lebih mudah dan lebih cekap.
“Ini selaras dengan tuntutan Maqasid Syariah yang menekankan kepentingan memudahkan urusan masyarakat serta memastikan kesejahteraan hidup rakyat sentiasa terpelihara.
“Justeru, para peserta yang diraikan pada hari ini mempunyai peranan yang amat penting dalam usaha ini, yang penyertaan dalam program kepimpinan ini bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi merupakan persediaan untuk memikul tanggungjawab kepimpinan yang lebih besar dalam PA pada masa hadapan," kata Yang Berhormat
Yang Berhormat seterusnya berharap, para peserta akan kembali ke kementerian dan jabatan masing-masing sebagai pemimpin yang mampu menjadi pemangkin perubahan. Ini termasuklah bersedia menilai semula pendekatan lama yang tidak lagi relevan, memperkenalkan idea dan penyelesaian baharu, menggalakkan budaya inovasi dalam organisasi, serta memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Dalam masa yang sama jelas Yang Berhormat, kejayaan transformasi PA juga bergantung kepada kerjasama yang erat antara agensi kerajaan serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation tegas Yang Berhormat, perlu terus dibudayakan dan diperkukuh supaya setiap usaha pembangunan negara dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu, berkesan dan memberi impak yang lebih besar kepada rakyat.
“Walau sejauh mana transformasi yang kita laksanakan, kekuatan sebenar PA tetap terletak pada nilai, integriti dan keikhlasan pegawai-pegawainya. Sebagai pemimpin dalam PA, kita hendaklah sentiasa berpegang kepada sifat amanah dalam melaksanakan tanggungjawab, integriti dalam setiap keputusan yang dibuat, serta keikhlasan dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan orang ramai.
“Jawatan yang merupakan satu amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab ini menuntut kita untuk sentiasa meletakkan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap tindakan dan keputusan yang kita ambil," ujar Yang Berhormat lagi.